Sunday, February 28, 2010

Kumpulkan Koleksi Terbaik Penulisan Anda di Muzium-Karya

Assalamualaikum w.b.t dan selamat sejahtera

Pertama sekali saya ingin mengalu-alukan kehadiran dan penyertaan bloggers ke dalam Muzium-Karya ini. Semoga dengan kewujudian Muzium-Karya ini, kita akan dapat himpunkan pelbagai jenis koleksi penulisan kreatif yang telah dan mampu dihasilkan oleh para blogger.

Objektif

Objektif penubuhan Muzium-Karya adalah untuk menghimpunkan segala jenis penulisan kreatif dan hasil karya yang telah dan akan dihasilkan oleh para blogger. Dengan tertubuhnya Muzium-Karya, maka diharap dapat menjadi satu Gedung Ilmu bagi sesiapa sahaja yang ingin menyumbangkan hasil kreativiti mahupun mereka yang ingin memperoleh atau mendapatkan maklumat-maklumat berinformasi daripada hasil karya tersebut. Secara tidak langsung, dengan adanya Muzium-Karya akan melihatkan lebih ramai lagi penulis-penulis yang mampu menulis secara kreatif.

Syarat-syarat ahli

Setiap blogger layak menjadi ahli Muzium-Karya. Walaubagaimanapun, hanya penulisan yang terbaik dari segi idea dan gaya penulisan sahaja yang layak menghantarkan karya kepada Muzium-Karya.

Spesifikasi Karya

Karya yang dihasilkan boleh berkaitan mengenai apa sahaja baik dari segi isu semasa, ekonomi, agama, politik, sukan, pelancongan, perindustrian, pendidikan, kisah teladan hidup, dan sebagainya. Namun, untuk karya tentang politik haruslah menyentuh atas dasar ideologi sahaja tanpa menyatakan nama sesuatu parti politik.

Harapan

Diharap dengan tertubuhnya Muzium-Karya ini, setiap karya yang telah dan akan dihasilkan oleh para blogger dapat disimpan dan dijadikan koleksi sebagai artifak yang sangat berharga. Setiap penulis yang sebenar seharusnya merupakan seorang yang menghargai setiap penulisannya dan penulisan orang lain.
Harapan yang kedua adalah, dengan tertubuhnya Muzium-Karya maka dapatlah mengetengahkan hasil penulisan kreatif bloggers yang tidak mendapat perhatian selama ini akibat kekurangan pengetahuan dari segi mempromosikan blog mereka. Terlalu banyak blog yang kandungannya sangat berinformasi tetapi tiada pelawat, tetapi terlalu banyak blog yang tidak berilmiah namun mempunyai pelawat yang sangat ramai. Oleh itu, inilah masanya untuk kita rakyat Malaysia sama-sama menonjolkan kemampuan kita dalam bidang penulisan.
Harapan terakhir saya adalah supaya kita sama-sama dapat menjayakan Muzium-Karya ini agar mendapat manfaat kepada semua pembaca dan generasi akan datang.

Namun

Bagaimanapun, misi pertama yang perlu dilakukan oleh Muzium-Karya adalah mengumpulkan seramai mungkin follower supaya setiap karya yang disiarkan di sini dapat dihargai dan bukan sekadar menjadi bahan siaran yang akhirnya lama-kelamaan turun sedikit-demi sedikit ke bawah himpunan karya tanpa dibaca oleh sesiapapun. Oleh itu, sekiranya anda mempunyai perasaan untuk mewujudkan masyarakat yang bertamadun, hebahkanlah Muzium-Karya kepada rakan-rakan blogger yang lain. Ini kerana, masyarakat yang bertamadun bermula daripada masyarakat yang rajin membaca dan menulis.

Kepada bloggers yang berminat untuk menghantar karya anda, sila emailkan karya anda ke muziumkarya@gmail.com

Setiap karya yang dihantar akan disertakan link terus ke blog anda supaya pembaca tahu siapakah penulisnya. Sekian terima kasih.