Thursday, March 4, 2010

Siang Jangan Datang

PESIMISTIK BUKAN,OPTIMISTIK LAGILAH BUKAN, REALISTIK SAJALAH REDAH KEHIDUPAN

Siang jangan datang,
Aku mahu suasana yang bisu
Temani aku duduk berteleku
Tunduk mengadu, sebak merayu, pohon ampunMu,
Walau sedar diri tak pernah jadi yang terbaik
Aku mahu terus usaha

Siang jangan datang,
Aku suka melihat Biduk dan Belantik
Bukannya matahari yang bercambah terik
Bikin tubuhku capik, emosiku tercarik, langkahanku ditakik,
Pelangi pula terus-terusan sembunyi di balik awan
Aku tak mahu terus kecewa

Siang jangan datang,
Aku mahu dibalut pekat yang nyaman
Mendakap mimpi sebuah angan jadi kenyataan
Mungkin petunjuk Tuhan, Ke mainan syaitan? atau aku yang perasan?
Rasa yang halus tak bisa terlintas mulus di bibir
Aku mahu terus lena

Siang,
Walau aku suka neon menyinar parkir,
Esok pagi tetap ada kuliah, aku perlu hadir
Siang,
Walau saat ini indah, rahsia alam terzahir,
Aku tetap perlukan satu jawapan mampir

Kisah ini perlu ada babak akhir

Oh siang, janganlah merajuk,
Kau tetap akan datang kan esok???


Oh siang, janganlah merajuk,
Kau tetap akan datang kan esok???

Karya oleh Faridahanummn http://faridahanummn.blogspot.com/

Wednesday, March 3, 2010

Detik Satu

Aku tak tahu
Apakah aku masih bisa
Mencinta lagi
Setelah terluka sekian lama
Masih ku pendam cinta itu

Telah ku cuba membuang
Jauh rasa itu
Tapi tak pernah
Hilang wajahnya
Dari relung hati

Cinta Rabbi cuba ku gapai
Tapi aku selalu jatuh, dan jatuh lagi
Setiap gunung ku cuba daki
Lurah lembah aku jauhi
Tetap aku sering tersasar

Ampuni aku, Tuhan
Tapi aku masih percaya
Dia tercipta untukku
Jikalau tidak
Apa ertinya mimpi itu
Apa maksudnya istikharahku?

Kalau benar bukan dia
Tunjuki aku orangnya
Kerana aku lemah sendirian
Aku lemah seorang

Apa aku harus mati
Untuk mendapatkan sebuah cinta?


Karya oleh hanis aleeya http://detikhatialeeya.blogspot.com

Sunday, February 28, 2010

Kumpulkan Koleksi Terbaik Penulisan Anda di Muzium-Karya

Assalamualaikum w.b.t dan selamat sejahtera

Pertama sekali saya ingin mengalu-alukan kehadiran dan penyertaan bloggers ke dalam Muzium-Karya ini. Semoga dengan kewujudian Muzium-Karya ini, kita akan dapat himpunkan pelbagai jenis koleksi penulisan kreatif yang telah dan mampu dihasilkan oleh para blogger.

Objektif

Objektif penubuhan Muzium-Karya adalah untuk menghimpunkan segala jenis penulisan kreatif dan hasil karya yang telah dan akan dihasilkan oleh para blogger. Dengan tertubuhnya Muzium-Karya, maka diharap dapat menjadi satu Gedung Ilmu bagi sesiapa sahaja yang ingin menyumbangkan hasil kreativiti mahupun mereka yang ingin memperoleh atau mendapatkan maklumat-maklumat berinformasi daripada hasil karya tersebut. Secara tidak langsung, dengan adanya Muzium-Karya akan melihatkan lebih ramai lagi penulis-penulis yang mampu menulis secara kreatif.

Syarat-syarat ahli

Setiap blogger layak menjadi ahli Muzium-Karya. Walaubagaimanapun, hanya penulisan yang terbaik dari segi idea dan gaya penulisan sahaja yang layak menghantarkan karya kepada Muzium-Karya.

Spesifikasi Karya

Karya yang dihasilkan boleh berkaitan mengenai apa sahaja baik dari segi isu semasa, ekonomi, agama, politik, sukan, pelancongan, perindustrian, pendidikan, kisah teladan hidup, dan sebagainya. Namun, untuk karya tentang politik haruslah menyentuh atas dasar ideologi sahaja tanpa menyatakan nama sesuatu parti politik.

Harapan

Diharap dengan tertubuhnya Muzium-Karya ini, setiap karya yang telah dan akan dihasilkan oleh para blogger dapat disimpan dan dijadikan koleksi sebagai artifak yang sangat berharga. Setiap penulis yang sebenar seharusnya merupakan seorang yang menghargai setiap penulisannya dan penulisan orang lain.
Harapan yang kedua adalah, dengan tertubuhnya Muzium-Karya maka dapatlah mengetengahkan hasil penulisan kreatif bloggers yang tidak mendapat perhatian selama ini akibat kekurangan pengetahuan dari segi mempromosikan blog mereka. Terlalu banyak blog yang kandungannya sangat berinformasi tetapi tiada pelawat, tetapi terlalu banyak blog yang tidak berilmiah namun mempunyai pelawat yang sangat ramai. Oleh itu, inilah masanya untuk kita rakyat Malaysia sama-sama menonjolkan kemampuan kita dalam bidang penulisan.
Harapan terakhir saya adalah supaya kita sama-sama dapat menjayakan Muzium-Karya ini agar mendapat manfaat kepada semua pembaca dan generasi akan datang.

Namun

Bagaimanapun, misi pertama yang perlu dilakukan oleh Muzium-Karya adalah mengumpulkan seramai mungkin follower supaya setiap karya yang disiarkan di sini dapat dihargai dan bukan sekadar menjadi bahan siaran yang akhirnya lama-kelamaan turun sedikit-demi sedikit ke bawah himpunan karya tanpa dibaca oleh sesiapapun. Oleh itu, sekiranya anda mempunyai perasaan untuk mewujudkan masyarakat yang bertamadun, hebahkanlah Muzium-Karya kepada rakan-rakan blogger yang lain. Ini kerana, masyarakat yang bertamadun bermula daripada masyarakat yang rajin membaca dan menulis.

Kepada bloggers yang berminat untuk menghantar karya anda, sila emailkan karya anda ke muziumkarya@gmail.com

Setiap karya yang dihantar akan disertakan link terus ke blog anda supaya pembaca tahu siapakah penulisnya. Sekian terima kasih.